fbpx
More

    Review Filem Kanang Anak Langkau : The Iban Warrior

    Review Filem Kanang Anak Langkau : The Iban Warrior

    Filem ini memaparkan kisah benar seorang Ranger Sarawak, Kanang anak Langkau bermula dari hidup beliau sebagai seorang tracker Sarawak Rangers di bawah tentera British dan kemudian diserap masuk ke Angkatan Tentera Malaysia.

    Kemahiran Kanang mengesan pihak komunis di dalam hutan dan ditambah dengan semangat patriotisme yang tinggi mendapat kehormatan dari tentera British dan digeruni oleh askar komunis sehingga mereka mengenali nama beliau. Akibat kebencian musuh terhadap Kanang, keselamatan isteri dan anak-anaknya terancam oleh pihak komunis yang menyamar sebagai orang awam.

    Set gambaran kem tentera serta pelakon-pelakon tambahan British berjaya memberi gambaran yang realistik terhadap kehidupan di kem tentera sewaktu tahun 1960-an.

    Namun, dari segi jalan cerita, kesinambungan filem terasa terlalu pantas dari masa Kanang sewaktu muda dan ketika beliau menjadi Sarjan.

    Oleh sebab filem ini berdasarkan kisah benar Kanang dan tidak ditokok tambah dengan rekaan fiksyen, kadangkala filem ini terasa terlalu mendatar serta kekurangan plot menarik untuk mewarnai filem.

    Sekiranya penonton ingin mempelajari tentang Kanang melalui filem ini, penonton disyorkan agar membaca sejarah tentang Kanang terlebih dahulu untuk memahami filem ini dengan lebih mudah. Pada hampir setiap permulaan adegan, filem ini memaparkan nama tempat Kanang berada (nama kem tentera atau nama hutan). Namun selain daripada itu penonton mungkin akan berasa ‘lost’ dan kurang faham dengan perjuangan Kanang.

    Serangan artileri dan penggunaan peluru yang tulen berjaya memberi gambaran perang dalam hutan yang realistik. Namun, adegan periuk api (landmine) mendedahkan kelemahan efek khas – letupan bom nampak terlalu palsu.

    Namun begitu, filem ini berjaya menyentuh hati penulis sewaktu adegan akhir apabila pasukan komunis yang ramai menyerang pasukan Kanang di dalam hutan. Semangat Kanang tidak pernah gentar meskipun ditembak berkali-kali oleh musuh, malah beliau tidak henti menjerit kata-kata semangatnya “Agi idup, agi ngelaban!”

    Secara jujurnya filem ini kurang berjaya untuk memaparkan sumbangan Kanang terhadap negara kita. Namun begitu, sebagai anak Sarawak penulis berasa bangga melihat masyarakat dan budaya Iban dipaparkan dengan indah dan kisah hidup seorang wira tempatan Kanang anak Langkau diingati melalui sebuah filem. Hal ini menjadi lebih bermakna apabila anaknya Linggi anak Kanang berlakon sebagai arwah ayahnya.

    Malangnya, promosi filem ini tidak begitu gempak. Hasilnya, filem ini ‘tenggelam’ dalam kalangan filem tempatan dan antarabangsa lain yang sedang ditayang. Hal ini terbukti dengan sambutan audiens: hanya lima orang penonton sahaja di dalam wayang termasuk penulis.

    Filem ‘Kanang anak Langkau: The Iban Warrior’ kini sedang ditayang di seluruh negara.

    Artikel Berkaitan