Panduan Hantar Kereta Dari Semenanjung Ke Sarawak. Mudah Je!
Setelah 6 tahun bekerja di Semenanjung, baru-baru ini saya mendapat tawaran kerja di Kuching, Sarawak. Merantau di negeri orang bermakna banyak barang yang sudah saya beli termasuklah kereta. Jadi, saya perlu mencari jalan untuk memindahkan kereta saya dari Semenanjung ke Sarawak.
Memindah kereta ke Sarawak dari Semenanjung tidaklah susah seperti yang saya sangkakan. Jika anda perlu berpindah ke seberang Laut China Selatan, berikut ialah cara-cara menghantar kereta dari Semenanjung ke Sarawak.
1. Cari ejen penghantaran
Terdapat banyak ejen-ejen berdaftar yang menguruskan penghantaran kenderaan ke seberang laut. Dalam banyak-banyak pilihan itu, saya telah memilih perkhidmatan Pos Logistics untuk memindahkan kereta saya. Kos pemindahan yang berpatutan (sebut harga dari pihak Pos Logistics ialah RM1,600) serta kepercayaan saya terhadap kebergantungan khidmat Pos Malaysia menjadikan Pos Logistics pilihan saya. Yang baiknya juga ialah saya dapat membuat urusan dengan mereka secara peribadi dan tidak melalui orang tengah.
Pos Logistics menggunakan 3 kapal Roll-On/Roll-Off (RORO) iaitu Malaysian Star, Positive Brave dan Positive Pioneer.


Untuk penghantaran kereta saya, saya telah berurusan dengan Pn Suhaini Pugol. Beliau amat responsif dan memudahkan urusan penghantaran kereta saya. Jika anda ingin membuat tempahan dengan Pos Logistics, berikut ialah butiran beliau:
Emel: suhaini.pugol@pos.com.my
Tel pejabat: 03 5121 9988 (Ext 576)
Tel bimbit: 019 658 1939
Anda juga boleh menghubungi staf Pos Logistics yang lain seperti berikut:

2. Ambil geran kereta dan surat pelepasan (release letter) dari pihak bank
2a. Tulis surat kebenaran membawa kenderaan ke Sarawak
Sekiranya pinjaman bayaran kereta anda dengan pihak bank masih belum dijelaskan, anda perlu menulis surat kepada pihak bank terlebih dahulu untuk memohon mereka mengeluarkan geran kereta dan surat kebenaran memindahkan kereta ke Sarawak.
Dalam surat anda kepada bank, nyatakan hasrat anda untuk berpindah dari Semenanjung ke Sarawak. Pastikan anda tuliskan nama penuh anda (pemilik kereta) serta nombor kad pengenalan dan masukkan butiran kereta seperti berikut:
– No. pendaftaran kereta
– Nama model
– No. enjin
– No. chasis
2b. Tunjukkan surat sokongan (jika ada)
Jika anda berpindah kerana pekerjaan baru, lampirkan surat tawaran dari majikan baru anda kepada pihak bank. Saya lampirkan sekali salinan surat tawaran kerja dengan surat kebenaran kepada bank.
2c. Bayar yuran proses RM20 tunai ke bank
2d. Terima geran kereta dan surat pelepasan dari bank
Saya hanya perlu menunggu kira-kira 15 minit sahaja untuk mendapatkan geran kereta dan surat pelepasan.
3. Emel dokumen berikut kepada ejen penghantaran kereta:
– Salinan kad pengenalan pemilik kereta (depan dan belakang)
– Salinan geran kereta (depan dan belakang)
– Salinan surat pelepasan dari bank (jika masih membuat pinjaman)
4. Isi borang pendaftaran Pos Logistics
Staf Pos Logistics akan emel jadual kapal serta borang penghantaran. Isikan borang dengan maklumat lengkap.
Nota:
– Shipper bermaksud pengirim kereta (anda)
– Consignee/Notify party bermaksud penerima (wakil anda di Sarawak)
5. Hantar kenderaan ke Pos Logistics Vehicle Transit Centre (VTC) di Northport sekurang-kurangnya tiga (3) hari sebelum kapal berlabuh
Cara menempah ialah dengan menghantar kereta anda 3 hari sebelum kapal bertolak. Di sini anda boleh memilih bagaimana kereta anda dihantar ke VTC Northport iaitu sama ada dengan cara door-to-door, door-to-port, port-to-door atau port-to-port.
Walaupun perkhidmatan door-to-door paling mudah, iaitu dari pintu rumah anda di Semenanjung ke pintu rumah anda di Kuching, saya telah memilih perkhidmatan port-to-port, iaitu menghantar kereta ke Port Klang sendiri dan mengambil kereta dari Kuching Port. Hal ini kerana jika saya memilih perkhidmatan door-to-door, iaitu dari apartmen saya di Pulau Pinang ke rumah saya di Kuching, saya perlu menambah lagi RM1,600.
6. Bermalam di Klang (optional)
VTC hanya buka pada hari bekerja (Isnin-Jumaat, 8.30 pagi-5.30 petang). Bagi sesiapa yang tidak berada di kawasan berdekatan dengan Klang dan hanya dapat memandu ke Klang pada hujung minggu, anda boleh menghubungi pihak VTC jika anda perlu menghantar pada hari minggu, bergantung jika ada staf yang ada di sana. Alternatif yang lebih mudah ialah mengupah runner.
Bagi kes saya yang memilih cara DIY, saya telah bermalam di Klang pada malam Ahad sebelum menghantar kereta di Northport pada pagi Isnin. Saya telah bermalam di Talents Motor Park Hotel. Lokasinya 15 minit dari NorthPort, biliknya bersih dan selesa serta harganya agak berpatutan iaitu RM82 semalam. Tempat letak kereta juga betul-betul berhadapan dengan bilik.
Jumlah kos penginapan dan minyak adalah jauh lebih murah jika saya mengupah orang memandu kereta saya dari Pulau Pinang.


7. Pandu ke Northport CT2, Gate 1, Kompleks zon perdagangan bebas
Cara mudah ialah dengan menggunakan Waze tetapi papan tanda di kawasan pelabuhan sangat jelas untuk sesiapa sahaja yang memandu ke sana pertama kali.
8. Ambil pas pelawat di Gate 1 Zon Perdagangan Bebas Port Klang
Setibanya di Gate 1, anda perlu berhenti di pondok pegawai. Serahkan lesen memandu anda kepada pegawai dan beliau akan beri anda pas masuk. Sila pandu melalui Laluan Hijau iaitu Laluan Kenderaan Awam dan Kenderaan Tanpa Muatan dan tunjukkan pas masuk kepada pengawal di sana.

9. Hala ke pejabat Pos Logistics Berhad
Untuk ke pejabat Pos Logistics, dari Gate 1, pandu ikut jalan utama. Apabila tiba di bulatan, hala terus sahaja (12 o’clock atau second turning) sehingga anda tiba di satu lagi pintu masuk. Sila masuk melalui laluan Gate 8 (yang berlabel “VTC sahaja”) di hujung sebelah kanan.


Dari Gate 8 (VTC Sahaja), pandu lurus. Anda akan melihat sebuah pintu pagar yang terbuka dan papan tanda Pos Logistics.

10. Ambil gambar kereta anda dari semua sudut
Gambar ialah bahan bukti sekiranya terdapat calar atau kerosakan ke atas kenderaan semasa pemindahan kereta.
Staf Pos Logistics akan memeriksa kereta anda dan meminta anda kosongkan laci dan sebagainya. Jangan tinggalkan ‘loose items’ di dalam kereta. Selepas itu, staf akan isi sebuah borang semakan kereta dan serahkan borang itu kepada anda untuk simpanan anda.
Seluruh proses ini (dari Gate 1 sehingga pemeriksaan oleh PLB) boleh selesai dalam 30 minit.

11. Keluar dari Northport dengan shuttle
Kawasan Northport terlalu luas maka mustahil untuk anda berjalan kaki di sini. Jadi, setelah selesai proses pemeriksaan kereta, staf Pos Logistics akan memberi nombor telefon khidmat shuttle kepada anda untuk membawa anda keluar dari kawasan pelabuhan dan kembali ke pondok pegawai di Gate 1 untuk serahan pas pelawat. Sila bayar RM5 kepada pemandu shuttle.

12. Buat bayaran secara online kepada PLB
Setelah membuat bayaran secara online, sila emel resit kepada staf Pos Logistics dan mereka akan menghantar butiran mengenai kapal yang akan menghantar kenderaan anda.
Jumlah kos penghantaran kereta saya (Toyota Vios) dari Port Klang ke Kuching Port ialah RM1,565.40, lebih rendah dari sebut harga yang awal.
13. Ambil kereta dari Kuching Port di Pending
Apabila kereta sudah sedia untuk diambil, pihak Kuching Port akan menghubungi consignee/notify party seperti yang dinyatakan dalam borang shipping instructions yang anda isi. Anda atau wakil anda (consignee/notify party) haruslah pastikan tiada kehilangan barangan atau kerosakan pada kenderaan.
Begitulah cara untuk membawa kereta dari Semenanjung ke Sarawak. Mudah je kan? Selamat maju jaya!
Memilih untuk pindah sememangnya bukan satu perkara yang mudah. Baca artikel lama kami di sini: Kenapa Saya Pilih Untuk Kembali Ke Kuching