Jalan yang penuh warna warni di tengah Bandaraya Kuching
Asal Usul Nama Wayang Street (Lebuh Wayang) Di Kuching. Lebuh Wayang merupakan sebuah jalan di tengah-tengah Bandaraya Kuching yang memiliki nilai pelancongan yang tinggi. Malah, kawasan ini sering kali menjadi tumpuan ramai kerana di sinilah terletaknya tokong Cina yang megah dan masih utuh di bandaraya ini.
Namun, tahukah anda cerita di sebalik nama jalan ini?
Menurut Dr. Elena Chai, pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), jalan ini dinamakan sebagai Lebuh Wayang atau Wayang Street kerana kawasan jalan ini dahulu terkenal dengan persembahan opera Cina.
Persembahan opera, ritual masyarakat Cina sempena ulang tahun dewa
Pada zaman dahulu, masyarakat Cina mengadakan persembahan opera sebagai salah satu upacara ritual untuk dewa-dewa kepercayaan mereka. Opera ini akan diadakan semasa hari kebesaran ataupun hari ulang tahun dewa masyarakat Cina. Oleh yang demikian, sebuah pentas akan didirikan dan dilengkapi dengan sebuah skrin wayang yang besar. Pentas ini terletak betul-betul di bertentangan hadapan tokong Feng Shan Shi (鳳山寺)/ Hong San Si dan dinamakan sebagai pentas Daguantai.
Untuk pengetahuan anda, tokong Hong San Si adalah tokong bagi masyarakat Cina Hokkien yang didedikasikan buat dewa mereka yang bernama Guang Ze Tian Wang (廣澤天王). Ia dibina pada tahun 1848 dan mula-mula diubah suai pada tahun 1897.
Pada waktu dahulu, opera tersebut menyaksikan pasukan opera Ming Hokkien akan membuat persembahan. Opera ini dibuat bagi meraikan hari kelahiran para dewa dalam masyarakat Cina. Persembahan opera kebiasaannya diiringi dengan alunan alat muzik. Kebiasaannya, jenis muzik yang mengiringi muzik orkestra ini adalah muzik klasikal.
Tambah meriah apabila masyarakat Melayu turut sama menonton
Disebabkan wayang besar yang didirikan di jalan ini, maka hal ini telah menarik minat masyarakat Melayu di kawasan berdekatan untuk turut sama menonton persembahan opera ini. Masyarakat Melayu yang datang melihat persembahan ini kemudiannya menganggap opera ini sebagai satu persembahan wayang. Teater Lishi ditubuhkan di sini pada tahun 1952 dan menjadi kawasan tumpuan peminat seni teater.
Maka, daripada situ, nama jalan tersebut dinamakan sebagai Lebuh Wayang ataupun Wayang Street sehingga ke hari ini.
Namun sebenarnya, kisah jalan ini sebenarnya lebih daripada itu.
Huaxiang Street, jalan tempat letak lembu dan penuh dengan aktiviti mencurigakan
Menurut sebuah sumber, sebelum nama jalan ini dipanggil sebagai Lebuh Wayang, masyarakat Cina terlebih dahulu menggelarnya sebagai Huaxiang Street. Huaxiang Street ini dahulunya tidak kurang daripada hanya sekadar sebuah lorong belakang yang tersembunyi, dengan deretan kedai lama, tokong lama dan sebuah pentas lama kepunyaan tokong tersebut. Di hadapan deretan kedai lama ini pula, terdapat sebuah lot kosong yang sering menjadi tempat meletakkan lembu dan dipenuhi dengan najis lembu sehingga ia digelar dengan satu lagi nama iaitu ‘Niu Shi Street’.
Disebabkan lorong ini seringkali menjadi kawasan untuk individu atau kumpulan menyembunyikan sesuatu ataupun melakukan aktiviti yang mencurigakan, maka kawasan ini pernah menjadi kawasan merah di Kuching dan menarik perhatian kumpulan gang untuk berkeliaran di kawasan rumah pelacuran. Dari sinilah gelaran ‘flower fragrance’ muncul dan dikaitkan dengan gelaran untuk jalan ini.
Kini, kawasan jalan ini hanya dipenuhi dengan deretan kedai lama serta tokong Feng Shan Shi yang masih utuh dan cerah. Bukan itu sahaja, mural-mural gergasi yang cantik dan instagrammable juga boleh dilihat di sepanjang jalan ini. Sekali sekala, anda boleh menikmati aiskrim berperisa matcha di seberang tokong ini atau ABC ais kantong yang dijual tidak jauh dari tokong tersebut. Kedai-kedai makan ala-ala antik dan tradisional pun banyak di sini.
Menarik bukan?